Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad / Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
TEMBURONG, Isnin, 14 Julai. - Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar menjadi tumpuan bagi Majlis Kesyukuran Sembahyang Fardu Maghrib, Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah dan Membaca Doa Kesyukuran sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-79, Tahun 2025 bagi Daerah Temburong.
Hadir selaku tetamu khas, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.
Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah dan Sunat Hajat telah diimamkan oleh Imam Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar, Awang Norezam bin Haji Zaini.
Majlis diteruskan dengan bacaan Surah Yaa Siin yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar, Awang Muhammad Syahmi bin Haji Zaini.
Manakala, Doa Kesyukuran pula dibacakan oleh Ketua Pegawai Ugama Daerah Temburong, Awang Harris Hamdillah bin Haji Masri.
Majlis diakhiri dengan Sembahyang Isyak Berjemaah yang diimamkan oleh Awang Muhammad Syahmi.
Turut hadir, Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Hassan Baha bin Haji Umar; dan Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasir, yang juga selaku Pemangku Penghulu Mukim Zon 1, dan Ketua Kampung Labu Estate dan Piasau-piasau, Daerah Temburong.
Majlis turut disertai oleh para pegawai dan kakitangan daripada setiap cawangan jabatan di Daerah Temburong, Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid dan Jemaah, persatuan-persatuan dan belia Daerah Temburong, Kumpulan Belia Masjid Temburong dan pasukan-pasukan beruniform.